Industri binaan merupakan salah sebuah industri yang disenaraikan sebagai penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi negara. Kepentingan industri binaan ini dapat dilihat dengan jelas melalui penglibatan pembinaan dalam pelbagai industri serta meliputi pelbagai bidang. Aktiviti-aktiviti industri binaan merangkumi pelbagai sektor (iaitu: kediaman, industrial, komersial, pasarana, dll) yang bukan hanya tertumpu kepada fasa pembinaan sahaja tetapi juga fasa-fasa pra pembinaan dan selepas pembinaan. Walau bagaimanapun tidak banyak perhatian yang diberikan secara menyeluruh kepada industri binaan serta kepentingannya.
Tidak ada usaha yang bersepadu selama ini yang telah dibuat untuk merancang dan menyelaras perkembangan industri binaan. Sehubungan dengan itu, kertas kerja ini ditulis bertujuan untuk menunjukkan kepentingan peranan industri binaan dalam ekonomi serta juga bertujuan untuk menarik perhatian semua pihak yang terlibat (secara langsung dan tidak langsung) dengan industri binaan supaya merenung kembali peranan mereka serta menilai sama ada sumbangan mereka selama ini betul-betul bermakna dan berkesan terhadap pembangunan industri binaan. Pada hakikatnya kertaskerja ini bukanlah satu analisis yang mendalam.
Penulis hanya cuba memberi gambaran kasar tentang industri binaan dan skongan data-data sekunder yang diperolehi dalam masa yang suntuk. Walau bagaimanapun diharap kertas ini dapat mencuit pemikiran para-para penyumbang supaya dapat membuat sesuatu untuk kepentingan industri binaan.
INDUSTRI BINAAN DALAM EKONOMI
Industri binaan ialah salah sebuah industri yang menyumbang kepada pembangunan sesebuah negara. Ia memainkan peranan yang penting dalam semua sektor perindustrian utama sesebuah negara dalam bentuk penyediaan modal tetap, perkhidmatan, kediaman dan lain-lain. Dari segi fizikal, output industri binaan adalah besar, berat dan mahal serta tidak boleh dipindah ataupun bergerak. Ia tetap di satu-satu lokasi. Ia melibatkan penggunaan pelbagai bahan dan komponen binaan yang dikeluarkan oleh industri-industri perkilangan yang lain.2 Output binaan terdiri dari pelbagai jenis bangunan, kerja-kerja kejuruteraan sivil hinggalahkepada kerja-kerja infrastruktur.
Kerja-kerja kejuruteraan sivil biasanya projek-projek yang besar yang memakan perbelanjaan yang tinggi, termasuklah kerja-kerja infrastruktur asas sesebuah negara. Permintaan terhadap kerja-kerja jenis ini kebanyakannya datang dari sektor awam. Bangunan pula merupakan sebuah industri yang melibatkan pelbagai profesional, kontraktor dan subkontraktor serta projek-projek yang pelbagai jenis dan saiz. Pentingnya industri binaan dalam sesebuah ekonomi boleh dilihat dari pelbagai aspek.
Salah satu daripadanya ialah saiz output ataupun nilai kerja-kerja binaan yang telah dikeluarkan. Jadual 1 menunjukkan dalam tahun 1983, sebanyak Juta RM2,867 telahpun dibelanjakan dan ini ialah 5.4% daripada jumlah KDNK 1983 iaitu Juta RM53,582 dan peratus ini menunjukkan tidak kurang pentingnya sumbangan industri binaan berbanding dengan industri-industri lain, seperti Pertanian (21%), Perlombongan (10%) dan Perkilangan (20%)3 dalam tahun yang sama. Tahun 1983 ialah tahun sumbangan tertinggi industri binaan kepada KDNK. Nilai output binaan meningkat 8 kali ganda antara tahun 1965 - 1988, iaitu dari juta RM269 dalam tahun 1965 ke juta RM2,098 dalam tahun 1988 berbanding dengan nilai KNDK, 1965 sebanyak Juta $6,552 dan Juta RM65,338 dalam tahun 1988 ialah 10 kali ganda.
4 Purata industri binaan menyumbang antara 3 - 5.5% daripada keluaran dalam negara kasar.5 Bagi sesebuah negara yang sedang membangun seperti Malaysia, peratus sedemikian boleh dianggap biasa berbanding dengan negara-negara perindustrian seperti Singapura (6-8%)6 serta negara-negara maju, seperti United Kingdom (10-11%).7 Malaysia dijangka akan memasuki golongan negara-negara perindustrian batu tidak lama lagi. Kepesatan aktiviti-aktiviti binaan dan yang berkaitan juga dijangka akan bertambah dan ini akan meningkatkan lagi kepentingan sumbangan industri binaan dalam ekonomi.