Diantara peluang pekerjaan dalam sektor perbankan dan kewangan ialah dalam bidang pengurusan kewangan, perakaunan dan pengauditan, sekuriti, komoditi dan perkhidmatan kewangan. Ada juga peluang untuk bekerja dalam bidang analisis kewangan dan kredit. Empat bidang profesional yang mempunyai permintaan yang tinggi dan sering menawarkan jawatan kosong ialah perakaunan dan cukai, Insurans, perbankan pelaburan dan perbankan runcit.
Untuk bekerja dalam bidang perakaunan dan cukai, anda perlu mempunyai kelulusan diperingkat profesional seperti MACPA atau lesen perakaunan awam yang diperakui. Anda juga perlu menjalani tempoh latihan tertentu di syarikat perakaunan yang diiktiraf sebelum boleh diterima sebagai kakitangan profesional dalam bidang perakaunan dan cukai.
Industri Insuran memerlukan ramai tenaga profesional dalam bidang aktuari, selain kakitangan dalam bidang pentadbiran, perakaunan, pemasaran dan jualan. Masih banyak kekosongan dalam bidang aktuari ini. Mereka yang mempunyai kemahiran yang tinggi dalam bidang matematik, terutamanya statistik dan kebarangkalian, digalakkan menceburi bidang aktuari ini. Bidang ini agak mencabar, tapi mampu menghasilkan pendapatan yang tinggi.
Industri Insuran juga memerlukan ramai akauntan yang mempunyai kemahiran yang khusus untuk industri ini. Ditambah pula dengan wujudnya beberapa syarikat Insuran Takaful yang baru, permintaan untuk akauntan dalam bidang ini sangat tinggi kerana tidak ramai akauntan yang mempunyai kemahiran yang diperlukan. Graduan baru dalam bidang akauntan digalakkan untuk memohon jawatan dalam industri ini.
Sekiranya anda berminat menjadi penjual insuran, anda boleh menjadi pekerja sebuah syarikat atau agensi insuran, tapi anda tidak perlu berbuat demikian. Anda boleh bekerja sendiri sehingga anda berjaya membuka agensi insuran anda sendiri.Kalau bekerja untuk agensi, pendapatan anda dari komisyen akan berkurangan, tapi anda akan dibayar gaji pokok. Kalau bekerja sendiri, tak ada gaji pokok, tapi anda akan menerima komisyen yang lebih tinggi. Seorang yang pandai menjual insuran akan memilih untuk bekerja sendiri.
Perbankan pelaburan berbeza daripada perbankan biasa kerana fungsi utamanya ialah untuk mengumpul modal bagi syarikat dengan menerbitkan saham-saham atau bon. Bank ini juga menjadi penasihat kepada syarikat-syarikat berkaitan dengan penggabungan dan pengambilalihan.
Juga di bawah perbankan pelaburan ialah pasaran modal. Di sini, profesional ditugaskan untuk meningkatkan portfolio pelanggan melalui bon stok perdagangan dan lain-lain produk kewangan.
Akhir sekali ialah perbankan runcit yang ramai di antara kita tahu. Kita pergi ke bank runcit apabila kita perlu mendeposit atau mengeluarkan wang tunai dan memohon pinjaman. Berbagai jenis jawatan kosong sering diiklankan oleh bank runcit, sesuai untuk mereka yang berkelayakan SPM sehingga ijazah dan kelulusan profesional dalam bidang perbankan, kewangan, pengurusan perniagaan, pemasaran, pengurusan runcit dan sebagainya.